Terowong bawah tanah paling dalam di Malaysia ialah Terowong SMART dengan ia terletak sekitar 20 meter di bawah paras laut. Ia merupakan terowong pertama di dunia berfungsi membawa kenderaan dan juga air hujan apabila diperlukan. Tetapi kedalaman Terowong SMART ini tidak dapat dibandingkan dengan projek Rogaland Fastforbindelse (Rogfast) yang sedang dibina di Norway.
Rogfast apabila siap kelak akan menjadi terowong bawah tanah untuk kenderaan paling dalam di dunia dengan ia terletak 390m di bawah paras laut. Ia turut menjadi terowong bawah tanah terpanjang dunia dengan panjang 27 kilometer.
Dua terowong masing-masing dengan dua lorong dibina dan unik sekali di tengah-tengah Rogfast, dua bulatan dibina pada kedalaman 260 meter bagi membolehkan pengguna memilih untuk pergi ke tiga destinasi berbeza.
Projek dibina bagi menyambungkan Randaberg , Bokn dan Kvitsøy yang kini dipisahkan oleh lautan. Penduduk yang selama ini bergantung kepada perkhidmatan feri bakal memendekkan perjalanan sebanyak 40 minit.
Projek ini sebenarnya telah dimulakan pada tahun 2018 tetapi tergendala kerana kekurangan dana. Ia sepatutnya dibuka menjelang 2025 tetapi kini tertangguh ke 2033. Kos keseluruhan projek pula mencecah NOK 25 billion (~RM 10.25 bilion).